AROMATERAPI DALAM DUNIA ISLAM

Aromaterapi dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dapat didefinisikan sebagai alternatif  rawatan  yang menggunakan minyak harum bersumberkan tumbuh-tumbuhan untuk melegakan rasa tegang, kesakitan yang dialami dan sebagainya. Penggunaan minyak pati atau Essential Oil pada zaman era kini kian mendapat perhatian umum dengan perkongsian dan kesedaran yang diberikan oleh pakar aromaterapi. Selain itu, testimoni pengguna dan kajian saintifik menjadikan penggunaan Essential Oil kian mendapat perhatian dan tempat di hati ramai orang.

Trend Penggunaan Aromaterapi

Menurut satu laporan daripada Grand Review Research, trend penggunaan Essential Oil dianggarkan mencapai 247.08 kilo tan pada tahun 2020 dan dianggarkan akan terus berkembang pada kadar peningkatan sebanyak 7.5% setahun daripada tahun 2020 sehingga tahun 2027. Seterusnya, situasi semasa pasaran dunia dianggarkan mengalami peningkatan demand atau permintaan bahan mentah terutamanya dalam industri terlibat seperti industri makanan dan minuman (F&B), produk peribadi (personel care) dan kosmetik serta industri aromaterapi. 

Di samping itu, Laporan Grand Review Research ini juga menyatakan industri aromaterapi kian mendapat permintaan yang tinggi terutamanya dalam bidang farmasi dan aplikasi ubat-ubatan. Hal ini kerana, pakar farmasi kian menyedari penggunaan minyak aromaterapi atau Essential Oil tidak mempunyai kesan sampingan seperti ubat-ubatan konvensional yang sedia ada.

Aromaterapi dalam Dunia Islam

Tahukah semua pembaca setia NARINAR, trend kajian dan penggunaan aromaterapi sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru malahan telah bermula awal ketika zaman kegemilangan pemerintahan khalifah. Penggunaan aromaterapi memang terkenal di barat dan terus berkembang daripada tahun ke tahun. Malahan kajian tentang manfaat terapeutik minyak aromaterapi atau Essential Oil terus dikaji dan dipelopori oleh orang-orang barat. Tetapi ramai yang masih tidak tahu, penggunaan aromaterapi sebagai alternatif rawatan telah dikaji lebih awal dan dikembangkan oleh Tokoh Islam negara timur.

Siapakah Tokoh Islam tersebut? Ibnu Sina atau lebih dikenali di barat sebagai Avicenna merupakan tokoh perubatan  Islam yang terkenal dan beliau banyak menyumbang kajiannya dalam beberapa bidang yang penting antaranya ialah sains semulajadi, psikologi, geometrik, astronomi dan pelbagai lagi. Ramai yang pernah mendengar nama Ibnu Sina tetapi tidak mengetahui dengan lebih mendalam tentang sumbangan beliau. Karya enksilopedia Ibnu Sina yang terkenal iaitu The Canon of Medicine digunakan secara meluas dalam bidang perubatan termasuk negara barat. Antara sumbangan Ibnu Sina dalam  bidang perubatan antaranya ialah penelitian beliau tentang penyakit depresi atau kesedihan melampau yang menyumbang kepada penyakit fizikal seseorang kerana kaitannya emosi dengan sistem tubuh badan seseorang. 

Beliau menyatakan kaedah rawatan terbaik kepada penyakit depresi antaranya ialah penggunaan minyak aromaterapi, perhijrahan cara hidup dan juga penggunaan terapi muzik.  Bukan itu sahaja, beliau juga menyumbang idea kepada kaedah steam distillation iaitu salah satu kaedah pengekstrakan Essential Oil yang sehingga kini popular digunakan oleh industri aromaterapi.

Seterusnya, dalam satu kajian jurnal Natural Product Communication menyatakan Ibnu Sina merupakan saintis pertama yang membuktikan aroma minyak bunga ros memberikan kesan yang menenangkan hati, meningkatkan memori ingatan, mencerdaskan otak dan menguatkan tubuh badan.

Tumbuhan dalam Al-Quran

Sumbangan Ibnu Sina dalam dunia aromaterapi membuktikan bahawa Islam sangat menggalakkan penganutnya untuk berikhtiar dengan pelbagai cara selain daripada berdoa. Ikhtiar menggunakan Essential Oil merupakan sebagai tanda kita mempercayai bahawa semua ciptaan Allah mempunyai hikmahnya tersendiri bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Luqman ayat 10 iaitu:

Maksudnya: “Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat”

Kesimpulannya, dengan peningkatan kepada trend penggunaan aromaterapi Essential Oil pada masa kini membuktikan bahawa minda masyarakat dunia lebih terbuka dan bukti kajian saintifik daripada para penyelidik merupakan nilai tambah dalam industri aromaterapi.

Rujukan:

Essential Oils Market Size, Share & Trends Analysis Report By Application (Food & Beverages, Spa & Relaxation), By Product (Orange, Peppermint), By Sales Channel, And Segment Forecasts, 2020 – 2027

https://www.grandviewresearch.com/industry-analysis/essential-oils-market

Avicenna (980-1032CE: The Pioneer in Treatment of Depression

https://www.researchgate.net/publication/322772465_Avicenna_980-1032CE_The_Pioneer_in_Treatment_of_Depression

Avicenna’s Canon of Medicine: a review of analgesics and anti-inflammatory subtances

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4469963/

Ibn Sina (Avicenna) on Local Treatment of Migraine Compared with Recent Evidence

https://www.researchgate.net/publication/278932188_Ibn_Sina_Avicenna_on_Local_Treatment_of_Migraine_Compared_with_Recent_Evidence

Rose Mentioned in the Works of Scientists of the Medieval East and Implications in Modern Science

https://journals.sagepub.com/doi/pdf/10.1177/1934578X1701200843

Flora dan Fauna dalam Al-Quran dan Al-Hadis

https://www.researchgate.net/publication/322222429_FLORA_DAN_FAUNA_DALAM_AL-QUR’AN_DAN_AL-HADIS

Write a comment

Your email address will not be published. All fields are required