USM, Narinar jalin kerjasama kaji manfaat minyak pati

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi kampus kesihatannya di Kubang Kerian di sini, berkongsi kepakaran kemajuan teknologi perubatan khususnya memberi rawatan kepada pesakit yang mengalami sakit tulang belakang melalui penggunaan minyak pati.

Pemangku Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin, berkata langkah itu membolehkan lebih banyak peluang usaha sama serta perkongsian kepakaran dengan swasta yang bukan sahaja mencakupi pembangunan dalam bidang akademik, malah penyelidikan.

Untuk tujuan itu, satu memorandum geran penyelidikan dimeterai di antara USM dan Narinar Group Sdn Bhd (Narinar) yang berkuat kuasa selama dua tahun bermula Jun ini berkaitan penyelidikan dan pembangunan minyak pati untuk rawatan pesakit tulang belakang berbanding hanya minyak ‘methyl salicylate’.

“Kajian yang dijalankan ini juga bagi membuktikan keberkesanan bahan digunakan dalam minyak pati berkenaan yang bukan sahaja mampu dipasarkan, sebaliknya dapat menyelesaikan masalah kesihatan.

“Saya yakin dengan kerjasama yang dimeterai ini, ia akan membuka peluang yang lebih luas terutama bagi penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Perubatan terutamanya bagi meneroka bidang penyelidikan seiring dengan cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum berkenaan di Jabatan Ortopedik Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM, di sini.

Memorandum ditandatangani Dr Shaharum mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Prof Dr Abdul Razak Sulaiman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Narinar, Mohd Nawawi Ibrahim dan Pengarah Urusan merangkap Pengasas Narinar, Nur Shazren Mohd Shah.

Dr Shaharum berkata, kerjasama itu juga mewujudkan peluang lebih luas untuk menggabungkan penyelidikan ke arah kelestarian berdasarkan perspektif USM.

“Terdapat banyak penyelidikan dapat dilakukan apabila latar belakang penyelidikan yang berbeza digabungkan untuk menyelesaikan masalah baharu, terutamanya apabila membabitkan ubat tradisional dan komplementari.

“USM amat berbesar hati sekiranya kerjasama ini disambung lagi pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi hasil kerjasama dua hala dengan Narinar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nawawi berkata, perjanjian berkenaan adalah satu lagi langkah untuk pihak Narinar yang komited dalam mengeluarkan produk yang bukan sahaja halal, malah selamat dan berkesan.

Sebelum ini, katanya, minyak pati Narinar pernah menjalani ujian di peringkat makmal di USM Pulau Pinang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menguji komponen minyak pati yang berkesan mematikan kuman dan bakteria yang boleh menghasilkan produk untuk kegunaan masyarakat.

Beliau memaklumkan, bahan utama digunakan pihaknya dalam minyak pati untuk menghasilkan produk adalah biji cili dan lada hitam yang dapat membantu memberi kelegaan atau mengurangkan rasa sakit pada bahagian sendi.

(Kredit: Berita Harian)

Rujukan:
USM, Narinar jalin kerjasama kaji manfaat minyak pati

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2022/06/966498/usm-narinar-jalin-kerjasama-kaji-manfaat-minyak-pati

Write a comment

Your email address will not be published. All fields are required