Aromaterapi ialah sebarang pengunaan bahan dan minyak berasaskan tumbuhan aromatik seperti minyak pati yang bertujuan meningkatkan keadaan psikologi dan kesihatan pengguna. Ia boleh dipakai sebagai suatu terapi sampingan bersama rawatan konvensional mahupun suatu bentuk perubatan alternatif.
Aromatherapy telah pun diguna sejak zaman Nabi Musa lagi untuk merawat pelbagai keadaan. Terapi ini memerlukan minyak yang penting didapati daripada ekstrak bunga pokok, daun, cabang, kulit buah, kulit kayu atau akar melalui distilasi stim, ekstraksi solven dan pemerahan. Minyak ini dipercayai menjadi tenaga kehidupan bagi sesuatu tumbuhan. Oleh itu, minyak sintetik tidak dapat diguna dalam rawatan ini kerana tiadanya tenaga kehidupan.
Setiap tumbuhan dicipta dengan bahan untuk melindungi diri dari serangga perosak. Mereka juga bertindak melindungi diri dari bakteria dan virus. Dengan fungsi penyembuhan itu, kandungan aktif ini diekstrak dari tumbuhan perubatan melalui proses penyulingan. Maka terhasillah formula minyak yang sangat pekat dan boleh dicampur dengan bahan-bahan lain seperti sabun, lilin, syampu, ubat gigi.
Oleh kerana konsentrasi pati minyak ini terlalu tinggi, maka pati minyak haruslah dicampur dengan minyak sayuran seperti minyak almond, minyak jojoba, minyak zaitun atau kelapa.
Terdapat pelbagai cara untuk menggunakan minyak yang diekstrak ini. Antaranya ialah secara inhalasi, urut, diffusi, mandi, balutan panas atau sejuk dan minyak wangi. Sesetengah ahli aromaterapi mendakwa bahawa melalui urut, minyak itu akan menembusi kulit dan memasuki saluran darah yang boleh menyebabkan kesan fisiologikal pada badan. Walaupun begitu, bukti saintifik tidak mengesahkan bahawa substan ini boleh memasuki darah.
Aromaterapi berupaya untuk mencegah seizur pada sesetengah orang epilepsi. Dr. Tim Betts (Universiti Birmingham, England), telah melakukan kajian di mana pesakit dengan epilepsi refraktori disuruh untuk melakukan hipnosis sendiri untuk membantu relaksasi pada masa sama menerima urutan aromaterapi. Pesakit seterusnya diberitahu untuk mengambil minyak (ekstrak), sekiranya pesakit rasa serangan epilepsi berlaku. Didapati bahawa sebahagian besar pesakit bebas dari serangan seizur sepenuhnya.
Aromaterapi mungkin menolong pesakit epilepsi yang mengalami aura yang merupakan tanda bagi epilepsi akan berlaku. Penggunaan minyak ekstrak ini boleh mengelakan atau menurunkan keterukan serangan epilepsi jika diambil sebelum berlakunya serangan.Pesakit dengan epilepsi tidak seharusnya bersin kerap kali apabila minyak aromaterapi ini disedut. Ini adalah kerana, kekerapan bersin itu sendiri dapat merangsang seizur pada sesetengah pesakit.
Oleh itu, minyak ini seharusnya disedut dengan perlahan. Sebelum mengamalkan aromaterapi perlulah terlebih dahulu mendapat nasihat daripada doktor.