Usahawan Minyak Aromaterapi Asal Jurutera

Usahawan Minyak Aromaterapi Asal Jurutera

Nur Shazren Mohd Shah

Kali pertama bertemu Nur Shazren Mohd Shah, 34, ketika wanita ini mula memperkenalkan produk aromaterapi yang diusahakan bersama suami dan seorang rakan kongsi.

Terfikir sejenak, betapa beraninya pemegang ijazah Kejuruteraan Petroleum dari Universiti Adelaide, Australia ini mengubah langkah hidupnya daripada jurutera syarikat minyak dan gas kepada usahawan minyak aromaterapi.
Bukan senang untuk duduk dalam jawatan sebegitu. Malah, suami Nur Shazren lebih dulu memilih meninggalkan kerjaya serupa. Sudahlah berbeza bidang dan
cara kerja, menjadi usahawan bermakna kedua-duanya perlu menjaga kewangan sendiri 100 peratus.

Kata Nur Shazren, semua perubahan dalam hidup dan kerjayanya bermula apabila anak sulung disahkan menghidap epilepsi yang kritikal. Pada ketika itu, badan si kecil sangat lemah dan kerap diserang penyakit ringan seperti selesema, batuk dan demam.


“Kami sedar penyakit ringan sebegini juga menjadi antara punca anak mudah diserang sawan ketika itu. Apabila penyakit berlarutan, dia cenderung mengalami jangkitan paru-paru hingga berdepan risiko maut.


“Mahu atau tidak, saya dan suami mencari jalan terbaik membantu mengurangkan penderitaan anak. Mungkin sudah tersurat rezeki, kami bertemu penyelesaian melalui pati tumbuhan dan bungaan yang digabungkan dengan terapi urutan,” katanya.


Apabila difikirkan mengenai situasi dilalui, Nur Shazren yakin masih ramai ibu bapa lain turut mencari penyelesaian bagi masalah sama.
“Terapi yang saya temui memberi kesan positif terhadap anak, malah adiknya juga menggunakan formulasi yang sama. Jadi, selepas yakin dengan manfaat dan kebaikan rawatan, kami sepakat berkongsi pengalaman dengan lebih ramai orang.


“Pada masa sama, kami juga menghantar sampel untuk diuji sebelum formulasi berkenaan disahkan terbaik oleh beberapa makmal dan universiti tempatan,” katanya.

Nur Shazren Mohd Shah Bersama Suami

Cabaran dunia usahawan


Tidak lengkap perjalanan usahawan baru tanpa cabaran. Menurut ibu kepada tiga anak ini, terjun ke bidang perniagaan tanpa asas dan pengalaman memberi ujian besar buat dirinya dan suami.


“Bekerja dalam sektor korporat sangat berbeza dengan dunia perniagaan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami mampu bermula secara kecil-kecilan di rumah hanya bermodalkan RM600.


“Ketika itu, semua urusan perniagaan seperti memproses, membungkus, memasarkan, mengepos dan mendapatkan maklum balas pengguna dilakukan sendiri.


“Sebelum itu, saya juga pernah jatuh dalam perniagaan. Saya menjual barangan keperluan bayi dan wanita di pejabat secara sambilan. Empat tahun lalu, saya dan suami turut membuka kedai rangkaian perkhidmatan logistik dengan modal hampir RM50,000. Malangnya, kami hanya mampu bertahan sehingga tujuh ke lapan bulan kerana tidak mempunyai ilmu, kepakaran dan jiwa dalam perniagaan,” katanya tersenyum.

Sekalipun kerugian puluhan ribu ringgit itu meninggalkan pengalaman menyakitkan, wanita ini masih meneruskan usahanya menjual barangan keperluan bayi di pejabat.


“Sehinggalah dua tahun lalu, saya mengajak suami untuk serius dalam perniagaan. Kami bawa formula minyak aromaterapi, tubuhkan jenama Narinar dan menuntut ilmu daripada ramai guru serta menyertai kelas perniagaan secara terus atau digital.


“Alhamdulillah, perniagaan kami terus berkembang. Ternyata ilmu sangat penting untuk kita berjaya dalam hidup. Saya sendiri menyambung pengajian Diploma Aromaterapi dan Psikologi Kanak-Kanak dan memiliki pensijilan khas terapi urutan bayi yang diiktiraf oleh Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa (IAIM).


“Saya tanamkan tekad untuk sentiasa merendah diri. Jangan sombong untuk belajar dengan siapa saja yang kita rasa mempunyai pengalaman walaupun umur mereka jauh lebih muda.

Ketika Memenuhi Undangan Di Taiwan

Kongsi ilmu di Taiwan


Kata orang, usaha tangga kejayaan. Selepas melalui perit getir menuntut ilmu dan mengusahakan jenama sendiri, Mac lalu, Nur Shazren dijemput IAIM di Taiwan untuk berkongsi pengalaman serta memperkenal dan mempromosikan amalan urutan bayi di Malaysia.


“Saya diminta membentangkan pengalaman di hadapan lebih 500 delegasi di Simposium Antarabangsa untuk Sentuhan, Ikatan Kekeluargaan dan Kesihatan Anak-Anak Kecil anjuran IAIM Taiwan.


“Ia satu penghargaan dan pengalaman yang cukup mahal dalam hidup saya. Bukan sekadar dapat berkongsi pengalaman, saya juga melihat bagaimana masyarakat di negara maju menerapkan nilai kasih sayang dalam pembentukan institusi keluarga.

“Saya harap satu hari nanti Malaysia juga bergerak ke arah sama dan mempunyai institusi keluarga yang kukuh dengan kasih sayang menerusi amalan terapi sentuhan atau urutan bayi demi melahirkan generasi pemimpin hebat,” katanya.


Jelas Nur Shazren dia bukanlah mengejar nama untuk menjadi inspirasi pada wanita, namun sekadar berkongsi pengalaman sebagai seorang ibu.
“Saya membesarkan anak kecil yang mempunyai penyakit kronik dan hampir berputus asa dalam hidup.


“Syukur kepada Allah SWT, dengan sedikit ilmu, saya berjaya melangkaui masa sukar dan mengukir kejayaan hari ini,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:52 PM

Back to blog